
BANTUAN RM100 menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua bukan sahaja meringankan kos sara hidup, malah memberi kegembiraan kepada rakyat apabila kini mampu membeli makanan sejuk beku yang sebelum ini dianggap mewah bagi sesetengah keluarga.
Perkongsian seorang pengguna Threads, @balqisburhan_, membuka mata ramai apabila beliau menyaksikan seorang ibu mengisi troli dengan pelbagai produk sejuk beku seperti nuget, sosej, ayam tepung dan bebola daging menggunakan peruntukan SARA di sebuah pasar raya.
Katanya, wanita itu menggunakan bantuan SARA milik suaminya terlebih dahulu sebelum menggunakan SARA atas namanya sendiri dan meminta juruwang menyelaraskan jumlah agar mencukupi RM200.

“Kiranya kalau tak dapat SARA mesti kurang mampu bagi makan sedap-sedap kat anak dia. Jadi sebenarnya kita kena bersyukur bersyukur sebab ramai yang perlukan bantuan untuk bahagiakan anak-anak di rumah,” katanya.
Situasi itu mencerminkan bagaimana SARA bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya membuka peluang kepada keluarga berpendapatan rendah menikmati makanan yang jarang dibeli sebelum ini.
Pengguna lain, @cikmar_ahmad berkata, terdapat pihak mempersoalkan pembelian makanan sejuk beku tanpa memahami realiti kehidupan penerima.

“Lain dengan orang yang ada duit lebih akan kata benda itu pun nak masukkan. Saya pernah jumpa orang yang tak pernah beli pizza, sebab keluarga susah. Masa itu rasa betapa bertuahnya hidup sebagai saya.
“Bersyukur dengan nikmat Allah SWT berikan dan memberi bahagia kepada orang itu sangat bernilai,” katanya.
Sementara itu, @asyikin_hh berkata bantuan itu memudahkan ibu bapa menyediakan makanan pantas, terutama ketika kekangan masa.

“Kadang-kadang tak sempat masak, anak dah lapar. Goreng je lepas tu gaul nasi panas-panas dengan kicap telur dadar, dah siap. Siap beli roti canai dan roti nan sejuk beku untuk sarapan,” katanya.
Bagi @intan.safuura_, SARA memberi ruang menjimatkan perbelanjaan dapur supaya wang tunai boleh digunakan untuk keperluan lain.

“Bila ada SARA ini sangat membantu untuk jimat apa yang patut dengan SARA, duit boleh disimpan untuk benda lebih penting,” katanya.
Mengulas kritikan terhadap harga makanan sejuk beku, @shaarostam berkata, produk itu sebenarnya bukan keutamaan bagi golongan kurang mampu kerana harganya.
“Satu pek nugget 1kg nak dekat RM20. Harga itu boleh beli ayam seekor kecil dan sayur satu jenis. Itu sebab orang susah tak mampu beli frozen food. Dapat pula claim dengan MyKasih itu yang ramai beli. Betapa ramai orang kat luar sana tak dapat makan sedap macam kita selalu makan tiap-tiap bulan,” katanya.

Terdahulu, kerajaan sebelum ini bersetuju meluaskan kategori barangan makanan di bawah SARA termasuk barangan sejuk beku.
Langkah itu membolehkan kira-kira 140,000 jenis barangan layak dibeli menggunakan kredit SARA di premis terpilih di seluruh negara.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, dengan peluasan berkenaan, penerima kini boleh membeli barangan dalam 15 kategori keperluan asas merangkumi makanan kering, segar dan sejuk beku, sekali gus memberi lebih fleksibiliti kepada rakyat mengurus perbelanjaan dapur mengikut keperluan keluarga.








