
SEMPORNA – Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang pemancing dikhuatiri hilang di laut Kampung Lalang di sini, ditangguh dan akan diteruskan, pagi Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, setakat pukul 5.31 petang pada Isnin, mangsa lelaki berumur 33 tahun itu belum ditemui.
“Panggilan diterima pukul 7.15 pagi tadi dan dimaklumkan bahawa seorang lelaki hilang semasa memancing pada petang Ahad kira-kira pukul 5 petang dan belum balik ke rumah.
“Keluarga mangsa telah mencari di lokasi memancing dan hanya menemui kereta serta joran yang digunakan mangsa berhampiran jambatan Kg Bukit Lalang,” katanya dalam kenyataan media, pada Isnin.
Menurut Madzlan, SAR kemudian diaktifkan oleh pasukan Bomba dan dibantu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta orang awam dengan kaedah ‘Water Surface’ di lokasi mamgsa dilaporkan hilang.
“Bagaimanapun, mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.




