
TUARAN – Suasana penuh kemeriahan dan semangat perpaduan jelas terpancar dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Dewan Seri Sulaman, di sini pada Sabtu.
Majlis yang dihoskan Ketua Menteri Sabah itu, menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang hadir bukan sahaja untuk menikmati juadah tradisi hari raya, malah turut mengambil peluang untuk bersua muka dengan kepimpinan negeri.
Persembahan artis terkenal seperti Marsha, Misha Omar dan artis tempatan yang menambah kemeriahan suasana hari raya.
Dari alunan lagu raya sehinggalah ke sajian seperti nasi impit, pecal, nasi campur, tapai nasi dan pelbagai jenis kuih muih turut disediakan untuk santapan orang ramai.
Orang ramai yang mengunjungi majlis ini menyifatkan ia sebagai simbol keharmonian rakyat Sabah yang sentiasa menjunjung nilai perpaduan.

Melinda Dee Yong, 45, salah seorang pengunjung yang hadir berkata beliau amat gembira kerana dapat menyertai sambutan rumah terbuka tersebut bersama masyarakat pelbagai kaum.
“Kami sangat bergembira sebab dapat hadir di rumah terbuka ini dan dapat berkumpul bersama-sama orang ramai serta berkenalan dengan orang yang kita tidak kenal.
“Inisiatif ini memang bagus, dan kalau boleh, biarlah ia jadi acara tahunan untuk eratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat,” katanya ketika ditemui wartawan TMP pada Sabtu.

Bagi Rusman Ekeh, 60, sambutan Hari Raya bersama Ketua Menteri merupakan platform terbaik dalam mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Perasaan sempena sambutan ini amat membanggakan dan teruja sekali bila bersama rakan-rakan.
“Kita sudah banyak kali menghadiri event yang dianjurkan YAB Ketua Menteri.
“Ini salah satu cara terbaik untuk mengukuhkan silaturahim dan harapan saya agar kepimpinan negeri terus stabil dan membawa kemakmuran kepada rakyat Sabah,” katanya.

Seorang lagi pengunjung tetap acara tahunan ini, Al-Henry Longfield, 27, menyifatkan majlis rumah terbuka itu sebagai peluang terbaik mengeratkan hubungan masyarakat.
“Memang meriah dan dapat mengeratkan silaturahim terutama bagi penduduk Tuaran. Setiap tahun saya pasti hadir.
“Harapan saya kepada pemimpin dan rakyat teruskanlah inisiatif seperti ini dan semoga maju jaya,” katanya.
Majlis dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman bersama isteri Toh Puan Faridah Tussin, isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag serta Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya dan isteri, Datin Seri Norani Salleh.
Hadir sama Setiausaha Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, wakil rakyat dan para pemimpin masyarakat.








