
KOTA KINABALU – Sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka esok malam dibatalkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia susulan bencana besar besar akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
Katanya lagi telah memaklumkan perkara tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, pada Isnin.
“Keutamaan segera Kerajaan Negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.
“Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.
Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia mengambil tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.
Jelasnya, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong, kini sedang bermesyuarat bagi memantau perkembangan dan menyelaras tindakan di daerah-daerah terlibat.
Hajiji turut menyeru orang ramai agar berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha pemulihan sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.




