
INANAM – Semua pihak harus saling melengkapi agar rakyat boleh berbangga dengan khidmat yang diberi, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Menurut beliau, perkara yang perlu diberi keutamaan oleh parti politik ialah melebar luas khidmat kepada rakyat.
“Dalam gabungan besar sudah tentu semua parti kalau mahu ruang bertanding, semua mahu bertanding.
“Tetapi pada saya, kita harus saling melengkapkan usaha bersama yang penting rakyat boleh berbangga dengan khidmat yang kita berikan kepada mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 2025 di Pekan Inanam di sini pada Khamis.
Ewon yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang berkata, sambutan Tahun Baharu Cina anjuran UPKO adalah khidmat kepada rakyat yang dapat memupuk kebersamaan.
“Acara ini adalah sangat penting kerana dapat meraikan perpaduan rakyat serta menghormati keharmonian yang ada.
“Sambutan Tahun Baharu Cina ini jelas menggambarkan kebersamaan yang mana saya lihat berbagai kaum, masyarakat, agama bekumpul bersama-sama untuk meraikan acara ini,” ujar beliau.
Tambahnya, kebersamaan adalah sangat penting bagi memastikan kelancaran dalam mentadbir negara.
Jelas Ewon, jika ada kebersamaan sudah tentu perpaduan itu semakin dekat dan memudahkan majlis pimpinan negara memberi fokus kepada pembangunan negara.
“Negara Malaysia ini adalah tentang kebersamaan kita. Pertama ialah kebersamaan wilayah-wilayah dalam Malaysia.
“Kebersamaan yang kedua adalah kebersamaan rakyat berbagai etnik sama ada masyarakat Cina, Bajau, Kadazan, Momogun, Brunei, Sungai dan sebagainya.
“Kitalah yang membentuk negara ini kalau satu daripada etnik ini bercerai dengan etnik-etnik yang lain sudah tentu siapapun yang menjadi Kerajaan akan berhadapan dengan kesukaran untuk mengurus negara,” katanya.





