
KUCHING – Sesi Perbincangan Strategik Pembangunan Usahawan dan Ekonomi Bahagian Sri Aman berlangsung pada 23 September 2025 di Wisma Sumber Alam, dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred), Dzulkornain Masron.
Turut hadir Pengerusi SADA, Datuk Seri Rohani Karim; Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh; wakil SEDC Sarawak; Majlis Daerah Sri Aman serta Sekretariat SADA.
Kehadiran pelbagai pihak ini mencerminkan komitmen bersama memperkukuh ekosistem keusahawanan dan merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat.
Antara fokus utama yang dibincangkan ialah cadangan projek daripada SADA untuk dimasukkan dalam pelan pembangunan di bawah Mintred, cadangan penempatan usahawan tempatan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta usaha mengenal pasti potensi baharu dalam sektor ekonomi di Sri Aman.
Melalui perbincangan ini, kerjasama antara kementerian, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan komuniti usahawan diharap dapat membuka lebih banyak peluang keusahawanan, meningkatkan daya saing PKS serta menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat di Sri Aman.






