
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meminta Sabah Law Society (SLS) mengemukakan input terperinci bagi mengukuhkan tuntutan Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada Kerajaan Persekutuan.
Hajiji berkata, pandangan SLS akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri sebagai asas memperkukuh rangka kerja rundingan berterusan antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan mengenai pelaksanaan geran perlembagaan tersebut.
“Dalam pertemuan dengan SLS, saya mendengar pandangan dan cadangan mereka.
“Saya telah meminta mereka menyediakan input terperinci dan mengemukakannya kepada Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri untuk terus mengukuhkan tuntutan kita,” katanya selepas bertemu Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin serta bekas presiden, Datuk Roger Chin di kediamannya pada Selasa.

Permintaan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober yang mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dalam tempoh 90 hari bagi melaksanakan geran khas 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Selain isu geran khas, Hajiji turut mahu SLS menjadi sebahagian daripada pasukan penggubal kerangka Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund – SSWF) termasuk penyediaan draf enakmennya.
“Penubuhan SSWF ialah antara ikrar utama Manifesto GRS yang dilancarkan pada 17 November.
“Dana itu bertujuan menaikkan hasil tahunan negeri kepada RM10 bilion menjelang 2030, dengan modal permulaan datang daripada sebahagian rizab negeri serta satu peratusan tetap geran khas 40 peratus yang akan disalurkan setiap tahun,” katanya.
Menurut Hajiji, pasukan SSWF akan melibatkan wakil kerajaan bersama golongan profesional serta pakar dalam bidang pelaburan, kewangan dan perundangan bagi memastikan dana tersebut dibangunkan secara strategik dan berintegriti.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.




