
KOTA KINABALU – Permeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dalam sukan bola sepak antara usahasama Sabah Kids Football Club (FC) dengan Kidball Soccer Academy bakal membangunkan bakat muda termasuk melahirkan pemain yang berkualiti.
Pengurus Sabah Kids FC, Mazhair Shahroz Muhasip berkata dengan kerjasama yang terjalin antara Kidball Soccer Academy ini memberi peluang kepada para pemain di Sabah Kids FC untuk akses kepada kejurulatihan yang bertaraf nasional.
“Dengan kerjasama ini dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti bukan sahaja di peringkat sekolah, akademi mahupun peringkat negeri bahkan ini merupakan sumbangan permulaan kita melahirkan pemain-pemain khususnya negara Malaysia kita untuk ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya kepada media semasa Majlis Menandatangani MoU di sini pada Khamis.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Kidball Soccer Academy, Musa Abdul Rahman berkata akademi bola sepak itu berpusat di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gaya, Kota Kinabalu.
“Akademi ini telah mencapai beberapa pencapaian penting dalam usaha memajukan bola sepak di Sabah.
“Antaranya pada April 2021, Kidball Football Club menjadi akademi bola sepak pertama di Sabah yang menerima akreditasi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di bawah progam akar umbinya yang dinamakan SupaRimau FAM.
“Pengiktirafan ini menandakan komitmen akademi dalam pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi,” katanya.
Manakala bagi Guru Besar SK Sri Gaya, Sukrani@Mimi Osman, kolaborasi bersama dengan Sabah Kids FC ini diharapkan lebih ramai pelajar sekolah ini bersama-sama kelab tersebut untuk pergi lebih jauh.
Jelasnya, bukan setakat hanya di peringkat daerah, tetapi juga negeri, kebangsaan dan terus ke antarabangsa.
“Warga SK Sri Gaya mengharapkan mungkin pada tahun ini dapat mengadakan sebuah pertandingan peringkat antarabangsa untuk bola sepak khasnya,” tambah beliau.








