
KOTA KINABALU – Sabah FC menyokong segala usaha ke arah penambahbaikan ekosistem liga dan komited memainkan peranan secara profesional demi kepentingan bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Sabah Football Club, Mohd Syazwan Imran berkata, pihaknya menyedari pelbagai pandangan yang diketengahkan berhubung keadaan semasa Liga Malaysia serta cabaran yang dihadapi industri bola sepak tempatan.
“Situasi ini memerlukan perhatian bersama serta pendekatan lebih menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk operasi, kewangan dan perkembangan semasa industri.
“Sabah FC berpandangan kerjasama erat antara semua pihak amat penting bagi memastikan hala tuju liga terus terpelihara.
“Ruang perbincangan yang terbuka dan konstruktif juga wajar diperkukuhkan agar setiap keputusan yang dibuat adalah realistik serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Mohd Syazwan turut berharap Liga Malaysia akan terus kekal stabil, berdaya saing dan mampu memberi nilai positif kepada semua pihak yang terlibat.





