Sabah cipta sejarah dengan pembedahan aneurisma otak secara sedar

KOTA KINABALU – Sabah mencatat satu pencapaian bersejarah dalam bidang rawatan bedah saraf apabila berjaya melaksanakan pembedahan kliping aneurisma otak secara sedar (awake brain aneurysm clipping), antara prosedur otak paling canggih yang pernah dijalankan di Borneo.

Pembedahan itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Prosedur berisiko tinggi dan berteknologi tinggi itu diketuai oleh Pakar Perunding Bedah Saraf, Dr Mohd Sofan Zenian, dengan pengurusan neuroanestesia oleh Pakar Perunding Neuroanestesiologi UMS, Dr Yeap Boon Tat, serta disokong pasukan multidisiplin terdiri daripada doktor, jururawat, ahli neurofisiologi dan profesional kesihatan bersekutu.

Menurut Mohd Sofan, berbeza dengan pembedahan otak konvensional, prosedur kliping aneurisma otak secara sedar mengekalkan pesakit dalam keadaan sedar sepenuhnya pada peringkat kritikal pembedahan.

“Kaedah ini membolehkan pakar bedah menilai pertuturan, pergerakan dan fungsi otak tahap tinggi secara masa nyata ketika aneurisma diikat, sekali gus mengurangkan risiko kerosakan neurologi kekal — terutama apabila pembedahan dilakukan berhampiran kawasan kritikal otak.

“Dengan melakukan pembedahan ketika pesakit dalam keadaan sedar, kami menerima maklum balas serta-merta semasa penempatan klip. Jika berlaku perubahan neurologi, kami boleh terus mengubah strategi pembedahan. Ini mewakili tahap ketepatan tertinggi serta penjagaan bedah saraf yang berfokuskan pesakit,” katanya.

Sementara itu, Dr Yeap menegaskan kejayaan pembedahan otak secara sedar sangat bergantung kepada pengurusan neuroanestesia yang pakar dan teliti.

“Pembedahan bedah saraf secara sedar memerlukan perancangan rapi, komunikasi berterusan dengan pesakit serta kawalan fisiologi otak yang tepat. Mencapai tahap keselesaan pesakit sambil mengekalkan fungsi neurologi adalah sesuatu yang mencabar dari segi teknikal dan amat kritikal.

“Kejayaan ini mencerminkan keupayaan Sabah yang semakin berkembang dalam menyediakan rawatan bedah saraf lanjutan di peringkat tempatan sekaligus mengurangkan keperluan pesakit mendapatkan rawatan di luar negeri, mengurangkan kos dan meningkatkan akses kepada rawatan berkualiti tinggi lebih dekat dengan kediaman,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Queen Elizabeth II, Dr Ferro Firdaus Ibrahim, turut merakamkan tahniah kepada pasukan terlibat atas kejayaan bersejarah itu dan menyifatkannya sebagai detik membanggakan buat warga kesihatan Sabah.

“Kejayaan prosedur tersebut mencerminkan standard penjagaan kesihatan bertaraf tertinggi yang diberikan oleh HQE II sebagai pusat kecemerlangan yang diiktiraf.

“Ia juga memperlihatkan kepakaran, dedikasi dan keupayaan mendalam yang dimiliki HQE II secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan kami sebagai pusat rujukan utama yang komited menyampaikan rawatan bedah saraf bertaraf dunia kepada rakyat Sabah,” kongsinya.

Tambahnya, pembangunan berterusan perkhidmatan dan fasiliti bedah saraf di Sabah akan terus memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negeri ini.

“Dengan peluasan dan penambahbaikan berterusan perkhidmatan bedah saraf dalam masa terdekat, kami yakin standard penjagaan kesihatan Sabah akan terus meningkat, seterusnya memperbaiki tahap kesihatan dan kesejahteraan rakyat tempatan,” kongsinya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr William Gotulis, menyifatkan pembedahan tersebut sebagai satu kemajuan besar bagi perkhidmatan kesihatan awam di Sabah.

“Kejayaan ini menyerlahkan impak kerja berpasukan yang kukuh, kepakaran khusus dan kerjasama antara institusi. Ia menandakan satu langkah penting ke hadapan dalam penyampaian rawatan bertaraf dunia kepada rakyat Sabah,” ujarnya.

Pesakit berusia 57 tahun dari Tawau itu dilaporkan pulih dengan baik selepas prosedur berkenaan, tanpa sebarang komplikasi neurologi serta-merta.

Related Posts

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

ALOR SETAR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjaya dalam tuntutan saman fitnahnya terhadap seorang pengguna media sosial iaitu Muhamad Zubair Ismail atau dikenali sebagai ‘Tam Jebat’.…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

KANGAR – Seorang nenek mengaku bersalah dan didenda RM1,500 atas tuduhan memalsukan maklumat kelahiran seorang cucunya di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini. Prosiding pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan