
Beliau berkata, kuasa mutlak itu hanya dilaksanakan selepas menerima laporan serta maklumat lengkap daripada pihak keselamatan.
“Kerajaan Negeri mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak.
“Tetapi tindakan hanya diambil setelah menerima laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan Mutiara, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengulas mengenai 13 mangsa yang terkorban dalam kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini, dengan menyatakan semakan sedang dilakukan bagi menentukan kelayakan mereka menerima manfaat daripada Skim Insurans Rakyat Sabah.
“Saya sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan berkaitan kematian daripada skim insurans tersebut.
“Jadi, saya akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak,” katanya.
Beliau menambah, meskipun keputusan mengenai skim insurans itu masih diteliti, kerajaan telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.
“Daripada pihak kerajaan, kita sudah pun memberi bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah, iaitu RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyalurkan RM10,000,” jelasnya.
Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan untuk memastikan skim insurans tersebut turut meliputi mangsa kejadian bencana berkenaan.






