
RANG Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025 bertujuan meningkatkan perlindungan sosial yang setara antara pekerja rakyat Malaysia dan bukan warganegara diluluskan dengan mudah di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersetuju dengan lebih suara untuk RUU itu lulus selepas dibahas lapan pembahas.
Pindaan melibatkan 11 fasal bagi mengadakan peruntukan berhubung dengan tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang kena dibayar ke atas pekerja bukan warganegara Malaysia.
Terdahulu, Menteri Kewangan II,Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menggulung perbahasan RUU itu berkata, cadangan mewajibkan pekerja bukan warganegara untuk mencarum adalah bertujuan memberi manfaat kepada rakyat dan negara kerana ia akan meningkatkan struktur gaji kebangsaan.
“Dengan peningkatan gaji ini, isi rumah akan mempunyai kebolehupayaan yang lebih tinggi untuk berbelanja seterusnya membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara. Oleh itu, polisi mewajibkan perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara selari dengan amalan baik antarabangsa,” katanya.
Amir Hamzah berkata, ia juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja bukan warganegara dalam jangka masa panjang, sekali gus meningkatkan daya saing perniagaan tempatan yang mendorong kepada peralihan perniagaan ke arah automasi.






