
TAWAU – Sebuah rumah kongsi satu blok 16 pintu dua tingkat, sebuah motokar dan motosikal musnah dijilat api dalam kejadian di Kampung Tanjung Batu Tengah Lorong Imam Haji Zainal, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.08 pagi sebelum sepasukan anggota dan jentera digegaskan ke lokasi kejadian.
“Sebuah rumah kongsi 16 pintu iaitu lapan di atas dan lapan di bawah jenis tidak kekal serta motosikal terbakar sepenuhnya manakala kenderaan terbakar 20 peratus.
“Semasa kejadian, 11 orang penghuni rumah berjaya keluar dari rumah sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.

Jelasnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan konsep ‘offensive’ dan ‘defensive’ menggunakan satu aliran 600 kaki dua pancutan sumber air dari pili bomba berdekatan.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke 8 buah rumah berdekatan, tiada kemalangan jiwa terlibat dan operasi tamat pukul 10 pagi,” katanya.