
KUCHING – Sebuah rumah barok di Kampung Budaya Sarawak, Jalan Damai Santubong, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku petang Ahad.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.31 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada jam 8.02 malam. Kebakaran melibatkan sebuah rumah barok dengan anggaran kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi diketuai oleh PBK I Mohamad Nizam Bujang dengan pemantauan Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Adib Ibrahim yang juga Ketua Balai BBP Petra Jaya.
Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan dua pancutan air daripada pam jentera, menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan.
Seramai 27 anggota dari tiga balai iaitu BBP Petra Jaya, BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan terlibat dalam operasi itu bersama tiga jentera FRT, satu Water Tanker, satu EMRS dan satu Hilux.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.





