
KALABAKAN – Calon PH DUN Merotai, Datuk Ruji Ubi selesai mengundi di SK Sungai Haji Matahir pukul 7.45 pagi ini sempena Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Beliau segak berbaju kemeja itu tiba pukul 7.30 pagi bersama isteri Kamariah Abd Rahman serta empat anaknya iaitu Muhammad Rais Aqil Ruji, 28; Afif Rahimi Ruji, 26; Ain Rabihah Ruji, 23 dan Auni Raihah Ruji, 18.
Beliau berharap agar keputusannya menyertai politik dapat memberi sinar membangun Merotai dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan kempen dan gerak kerja jentera kita harapkan sesuatu yang positif dari manifesto yang telah saya berikan.
“Saya berharap agar para pengundi dapat menunaikan tanggungjawab lebih awal hari ini atau mengikut masa yang ditetapkan kerana inilah peluang membawa suara rakyat di peringkat DUN,” katanya kepada media di SK Sungai Haji Matahir, pada Sabtu.

Sementara itu, seorang pengundi pertama kali yang juga anak Ruji, Auni, gemuruh kerana mengundi bakal wakil rakyat antaranya bapanya.

“Itu adalah pilihan dan satu peluang bangunkan Merotai,” katanya ringkas.
Seorang lagi anak Ruji, Ain berharap agar semuanya terbaik selain tidak menafikan cabaran mengundi kali kedua itu berbeza dari sebelum ini.
Dalam pada itu, seorang pengundi Kg Sungai Haji Matahir, Ratnawati Rabani, 42, yang turut ditemui berharap agar kemenangan berpihak kepada Ruji.
“Saya datang jam 7 pagi tadi dan sudah selesai mengundi. Saya harap apa yang kami mahu pembangunan di Merotai ini dapatlah selain saya harapkan Datuk menang,” ujarnya sebak.
DUN Merotai menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Ruji (PH), penyandang kerusi berkenaan, Sarifuddin Hata (Warisan); Hasan Haris (PH) dan Rhyme@Reymie Kassim (PIS) dengan 25,618 pengundi biasa layak memilih pada Sabtu.








