
KOTA KINABALU – Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 disifatkan sebagai ‘blueprint’ atau pelan induk strategik negara yang menjadi kompas utama dalam memacu hala tuju pendidikan berdepan cabaran dekad mendatang menjelang 2035.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud berkata, pendidikan tidak boleh sekadar bersifat akademik, ia mestilah adaptif, fleksibel dan berpaksikan nilai manusiawi.
“Dalam konteks pendidikan di Negeri Sabah, saya ingin menekankan beberapa perkara penting yang perlu dilihat seperti Pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Selain itu, keadilan sosial melalui penyediaan infrastruktur yang mampan, pembinaan karakter dan jati diri serta mengenai literasi digital dan kepintaran buatan (AI),” katanya semasa berucap merasmikan Program Wacana RPM 2026-2035, di Hotel Ming Garden, di sini pada Sabtu.
Mengulas berkaitan TVET, beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan bahawa semua pihak perlu bekerjasama untuk memadamkan stigma lapuk yang melabelkan TVET sebagai pilihan kedua atau pilihan bagi mereka yang kurang cemerlang akademik.

“Dengan kepesatan industri dan keperluan tenaga mahir yang tinggi, graduan TVET adalah tulang belakang kepada kemajuan negara yang akan memacu inovasi dan produktiviti nasional,” ujarnya.
Dari segi keadilan sosial, Mustapha berkata, dalam menoktahkan isu sekolah daif di Sabah bukan lagi satu pilihan, tetapi satu kemestian yang perlu dilaksanakan segera.
“Keadilan sosial di bawah payung Malaysia MADANI bermaksud kita merapatkan jurang infrastruktur luar bandar dengan memastikan setiap sekolah mempunyai kemudahan asas yang lengkap, selamat dan bermartabat.
“Pendidikan negara bagi dekad akan datang mesti berjaya melahirkan modal insan yang memiliki nilai Ihsan dan akhlak yang mulia. Pintar sahaja tidak cukup jika jiwa kosong daripada nilai kemanusiaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kesamarataan dalam pendidikan membentuk masyarakat yang inklusif dan adil di negeri ini.
“Saya tidak mahu melihat wujudnya jurang kasta digital.
“Saya berharap agar akses kepada teknologi dan pendidikan AI bagi anak-anak di Negeri Sabah, khususnya yang berada di pelosok luar bandar seperti di Pitas, Ranau, mahupun Nabawan, mestilah setara dengan anak-anak yang berada di bandar besar seperti Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.
“Kita mahu memastikan setiap anak Sabah dilengkapi dengan kemahiran masa hadapan agar mereka tidak sekadar menjadi pemerhati, tetapi menjadi pemain industri dalam ekonomi digital global,” tegas beliau.







