
MUKAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine menyalurkan sumbangan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Three Rivers bagi menyokong pembangunan serta pelaksanaan aktiviti pendidikan di sekolah berkenaan.
Sumbangan itu disampaikan sempena Program Agihan Bubur Lambuk Ramadan yang diadakan di sekolah tersebut pada Isnin.
Menurut beliau, sumbangan kepada PIBG merupakan antara usaha berterusan dalam memperkukuh peranan komuniti sekolah bagi memastikan kebajikan serta pembangunan pelajar sentiasa diberi perhatian.
“PIBG memainkan peranan penting sebagai penghubung antara ibu bapa dan pihak sekolah.
“Sokongan seperti ini diharap dapat membantu melaksanakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada pelajar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Tambah beliau, kerjasama erat antara wakil rakyat, pihak sekolah, alumni serta komuniti setempat amat penting dalam memastikan pembangunan pendidikan di kawasan Mukah terus diperkasakan.
“Program tersebut bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin masyarakat, pihak sekolah dan komuniti pendidikan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Royston bersama Persatuan Alumni SMK Three Rivers mengagihkan sebanyak 1,000 pek bubur lambuk kepada warga sekolah yang terdiri daripada pelajar, guru serta kakitangan sebagai tanda keprihatinan dan perkongsian rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Turut hadir sama, Pengerusi Persatuan Alumni SMK Three Rivers, Simon Joseph serta Pengetua sekolah, Donny Dahlan.







