
SEMUA pihak perlu memberikan ruang dan peluang kepada Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat dalam pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang akan datang.
Pakar Ekonomi, Prof Emiritus Dr Barjoyai Bardai, berpandangan bahawa RMK13 yang bakal dibentangkan pada 31 Julai depan merupakan rancangan pembangunan negara yang disediakan sepenuhnya di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, justeru wajar diberi ruang untuk melalui proses penambahbaikan.
“Ini baru perancangan awal. Draf tersebut masih boleh diubah dan diperkemaskan. Sama seperti belanjawan tahunan, drafnya lazimnya disemak dan boleh ditambah baik sehingga ke saat akhir sebelum ia dibacakan di Parlimen,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Sabtu.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi Datuk Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan ingin merombak semula dan mengolah draf RMK13 yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan depan.
Rafizi yang meletak jawatan berkuat kuasa 17 Jun lalu meminta penjelasan sama ada rombakan berkenaan dibuat secara tergesa-gesa kerana tiada masa untuk merujuk semula kepada agensi dan pakar-pakar.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kementerian itu telah bekerja lebih lapan bulan untuk menyediakan rangka RMK13 dan ia telah melalui proses perundingan menyeluruh bersama pakar, masyarakat dan pelbagai pemegang taruh.
“Kita harus melihat ini sebagai satu proses yang positif. Draf yang telah disediakan itu kini diberikan satu tempoh tambahan selama sebulan untuk disemak semula. Ini memberi ruang kepada kementerian meneliti secara lebih mendalam dan menyeluruh, termasuk mengambil kira maklum balas daripada peringkat pembuat dasar tertinggi kerajaan,” jelas beliau lagi.
Ujar beliau, proses penambahbaikan daripada pendekatan bawah ke atas (bottom-up) kini digabungkan pula dengan pendekatan atas ke bawah (top-down), sekali gus memperkukuh kesepaduan antara suara rakyat dan hala tuju dasar negara.
Dalam masa yang sama, Barjoyai turut mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan rombakan terhadap draf RMK13 yang dibentuk semasa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi masih di kementerian berkenaan.
“Kritikan itu harus dilihat dalam konteks terbuka. Rombakan itu bukan menidakkan kerja lama, tetapi satu usaha untuk menambah baik dan memperkukuh cadangan sedia ada. Tujuannya tetap sama, untuk kebaikan rakyat dan pembangunan negara,” tegas beliau.
Beliau turut menolak kebimbangan berhubung kemungkinan berlakunya pembaziran atau kesuntukan masa sekiranya dokumen bercetak perlu disediakan semula, memandangkan kebergantungan kepada dokumen digital kini lebih praktikal dan menjimatkan.
“Kita sekarang berada dalam era digital. Sebarang dokumen boleh dikongsi secara maya tanpa perlu menunggu versi bercetak. Yang penting ialah isi kandungannya sampai kepada rakyat dan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Justeru, beliau berkata, masyarakat perlu melihat usaha penyediaan RMK13 ini sebagai satu langkah reformasi dasar yang konstruktif dan bersifat inklusif.
“Apa yang dilakukan adalah untuk meneliti semula, memperbaharui dan memperkukuh rancangan pembangunan negara demi kepentingan rakyat. Maka, kita patut beri peluang kepada pasukan menteri dan kepimpinan kerajaan untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin,” katanya.
RMK13 dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 31 Julai 2025 di Parlimen.







