
KUANTAN – Sejumlah RM3.184 bilion diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang bagi pelaksanaan 18 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengurangkan risiko banjir di Pahang.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan diluluskan itu merangkumi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan RMK13 yang sedang dilaksanakan.
Beliau berkata, daripada 18 projek terbabit, sebanyak 11 projek sudah bermula secara fizikal di tapak, manakala enam projek dalam proses reka bentuk dan satu projek baharu sahaja diluluskan dalam Rolling Plan Pertama RMK13.
“Projek yang bermula secara fizikal di tapak membabitkan beberapa daerah antaranya di Pekan, Kuantan, Temerloh, Lipis dan Bera
“Alhamdulillah, kosnya membabitkan RM3.184 bilion dan satu angka yang banyak, saya yakin ia mengurangkan risiko banjir,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Arumugam (BN-Sabai) mengenai tahap perkembangan dan pelaksanaan projek RTB di Pahang, pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan projek RTB di Sungai Bentong yang bermula November 2025, Wan Rosdy berkata, projek berkenaan dijangka siap November 2029.
Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada kontraktor dilantik sekiranya semuanya berjalan lancar dan tiada masalah di luar kawalan.




