
SIBU – Majlis Iftar Karnival Bazar Ramadan 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Madinatul Husna, Sibu Jaya pada Sabtu berjaya menghimpunkan lebih 3,000 penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing yang menekankan pentingnya perpaduan dan keharmonian antara rakyat terutama suasana Ramadan yang penuh keberkatan ini.
“Ada permintaan supaya program seperti ini diteruskan setiap tahun, saya akan cuba sedaya upaya untuk merealisasikannya,” katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak JKP Masjid dan JKKK Kampung Sibujaya yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini termasuk para peniaga yang menyediakan juadah berbuka puasa untuk orang ramai.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peniaga yang membantu menyediakan juadah berbuka serta kepada pengunjung yang hadir memeriahkan majlis di Masjid Al-Madinatul Husna di Sibu Jaya,” tambah beliau lagi.
Selain jamuan berbuka puasa, majlis itu turut dimeriahkan dengan aktiviti komuniti iaitu agihan juadah percuma kepada pengunjung.
Majlis Iftar Karnival Bazar Ramadan 2025 diharap dapat diteruskan sebagai acara tahunan bagi memperkukuh keharmonian serta mempereratkan lagi hubungan silaturrahim dalam kalangan komuniti di kawasan tersebut.








