
KOTA KINABALU – Ribuan umat Islam hadir memenuhi Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Likas, pada Jumaat bagi menunaikan solat jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan barisan pimpinan negeri serta ahli keluarga bagi memberi penghormatan terakhir.
Solat jenazah Allahyarham yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Imam Suhaidi Kuanting kira-kira pukul 1.20 tengah hari sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas.

Suasana hiba menyelubungi kawasan perkuburan ketika van yang membawa jenazah tiba pukul 1.45 petang disambut tangisan ahli keluarga, sahabat handai dan orang ramai yang hadir mengiringi perjalanan terakhir.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 2.15 petang dengan proses pengebumian selesai kira-kira pukul 2.40 petang.
Bung Moktar, yang merupakan Ketua UMNO Sabah, dikenang sebagai pemimpin yang banyak menyumbang bakti kepada pembangunan negeri ini.
Terdahulu, beliau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu pada pukul 1.46 pagi akibat kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru.







