
MELAKA – Seorang remaja wanita cedera di pinggang disyaki dilibas dengan objek tajam oleh seorang lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Jalan Tangga Batu, dekat sini, petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 19 tahun sedang membonceng motosikal kakak iparnya yang bekerja di sebuah kilang untuk pulang ke rumah mereka di Batu 9 Tangga Batu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati ketika dalam perjalanan, kakak ipar mangsa mendapati tiada individu mengekori mereka.
“Namun, mangsa secara tiba-tiba memberitahu dia berasa sakit di bahagian belakang dan meminta untuk berhenti di tepi jalan.
“Ketika itulah kakak ipar mangsa melihat sebuah motosikal jenis Yamaha LC V8 warna biru gelap dinaiki seorang lelaki tidak dikenali dan memakai jaket warna gelap serta topi keledar warna biru memecut laju selepas kejadian berlaku,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibantu orang awam yang melihat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Melaka dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
“Doktor yang merawat mangsa memaklumkan mangsa mengalami luka di pinggang belakang sepanjang tujuh sentimeter, namun kedalaman luka tidak dapat dikenal pasti kerana terdapat banyak darah keluar.
“Doktor juga memaklumkan kecederaan mangsa bukan akibat ditikam, tetapi seperti dilibas dengan objek tajam kerana berdasarkan daripada koyakan pada baju mangsa adalah panjang dan luka dialami oleh mangsa turut panjang,” katanya.
Christopher berkata, setakat ini polis masih menyiasat motif serangan itu dan sedang mengesan suspek.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 011-26383960,” katanya,





