
KINABATANGAN – Remaja perempuan dan kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut dalam nahas kemalangan kereta yang dinaiki mereka terbabas di Batu 32 Bukit Garam di sini pada Rabu.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, PPgB Nurul Azlan Shah Jamalludin, identiti mangsa yang maut belum dikenal pasti manakala empat lagi mangsa cedera seterusnya dikejarkan ke hospital terdekat.
Jelasnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz terbabas sendiri dan terbalik di jalan raya.
“Terdapat enam mangsa terlibat iaitu empat dilaporkan cedera manakala dua lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
“Sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai bomba sebaik menerima panggilan pada pukul 5.20 petang,” kata beliau.
Setelah memastikan tiada bahaya lain, operasi ditamatkan pada pukul 7.13 petang.




