
TAWAU – Kegembiraan sekumpulan remaja yang mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira, di sini, pada Isnin bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka ditemukan lemas sebelum disahkan meninggal dunia.
Mangsa berumur 14 tahun itu mandi bersama 13 rakannya di kawasan berkenaan kira-kira pukul 4.30 Petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pukul 4.45 petang.
“Tujuh anggota BBP Tawau termasuk seorang anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.
“Difahamkan bahawa mangsa tidak pandai berenang dan ditemukan oleh orang awam serta penduduk kampung sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian, ” katanya ketika dihubungi, pada Selasa.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan KKM pada 6.38 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.




