
LINGGA – Pihak Jawatankuasa Regatta Lingga menegaskan bahawa acara tahunan Regatta Lingga akan tetap dianjurkan di Sungai Lingga pada bulan Disember ini, sekali gus menafikan dakwaan kononnya terdapat pertukaran lokasi penganjuran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dalam hantaran di Facebook rasminya berkata, maklumat tidak sahih yang tersebar melalui media sosial dan aplikasi WhatsApp itu telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Penjelasan ini dibuat setelah didapati terdapat maklumat yang tidak sahih sedang tersebar di media sosial dan WhatsApp bahawa terdapat pertukaran lokasi acara tersebut. Kami ingin menegaskan bahawa maklumat itu tidak benar,” jelas beliau.
Pihak Jawatankuasa turut memaklumkan bahawa mereka memandang serius penyebaran berita palsu tersebut dan akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan terhadap individu yang menyebarkannya bagi mengelakkan perkara sama berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pengumuman rasmi mengenai tarikh penganjuran Regatta Lingga serta Piala Regatta akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Terima kasih kepada semua penyokong Regatta Sarawak dan juga Regatta Lingga atas sokongan berterusan. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan kerjasama daripada semua pihak,” tambah beliau.
Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat hanya daripada pihak Jawatankuasa Regatta Lingga bagi mengelakkan kekeliruan.





