
TAPAH – Bekas Exco Pertanian Negeri Perak, Razman Zakaria perlu menjelaskan peranannya dalam isu kontroversi ladang babi di Tanjung Keramat, Ayer Kuning, yang dibangkitkan sendiri oleh Perikatan Nasional (PN), khususnya Pas.
Setiausaha AMANAH Perak, Salman Saleh menyifatkan sikap mendiamkan diri Razman sebagai tidak bertanggungjawab, memandangkan beliau pernah memegang portfolio berkaitan penternakan dari 2020 hingga 2022.
Beliau berkata, Pesuruhjaya Pas Perak itu perlu menyatakan sebab mengapa isu ladang babi dijadikan senjata dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, sedangkan Razman tidak ambil peduli serta tidak ditangani semasa Pas memegang kuasa dalam kerajaan PN penggal lalu.
“Ketika ada kuasa, beliau tidak bertindak. Sekarang, bila isu dibangkitkan semula oleh Pas sendiri, beliau hilang dari radar media. Malah, sepanjang kempen PRK Ayer Kuning pun Razman diletakkan di belakang tabir, seolah-olah ada sesuatu yang cuba disembunyikan.
“Malah, Razman ketika ditanya media pada 2021 menyatakan kerajaan tidak boleh tergesa-gesa kerana penternak telah melabur jutaan ringgit untuk mengurangkan masalah bau.
“Itu jelas memperlihatkan keengganan untuk bertindak, sekaligus mendedahkan sikap pasif beliau terhadap isu yang kini cuba dijadikan alat kempen politik,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Salman berkata, rakyat berhak tahu apakah pelan penyusunan semula atau langkah penguatkuasaan yang pernah dirancang semasa Razman memegang jawatan exco.
“Apa yang lebih penting adalah bukan siapa paling kuat menuding jari selepas kalah, tetapi siapa yang berani bertindak ketika ada kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Operasi Pakatan Harapan (PH) PRK Ayer Kuning mendesak Pas beri ruang kepada Razman untuk sekali sahaja tampil menjawab semua persoalan secara terbuka.
“Apabila isu ini dibangkitkan semula oleh Pas, kami difahamkan Razman sendiri tidak diberi ruang bercakap kepada media, malah diletakkan di belakang tabir sepanjang kempen PRK Ayer Kuning.
“Oleh itu, kami menggesa Pas supaya memberi laluan kepada Razman untuk sekali sahaja tampil dalam sidang media, dan jawab dengan jujur semua persoalan ini.
“Kalau tiada apa-apa hendak disorok, beri ruang kepada Razman untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan ini. Rakyat berhak tahu jawapan daripada bekas Exco yang bertanggungjawab terhadap isu ini semasa di bawah kuasa beliau,” katanya.
Terdahulu, penduduk di Kampung Tanjung Keramat menafikan terdapat ladang babi beroperasi di kawasan tersebut, seperti didakwa oleh Ketua Pemuda PN Perak, Hafez Sabri.

Berdasarkan pemerhatian TMP, tiada ladang babi haram yang wujud di kampung tersebut, malah industri hiliran itu yang memiliki lesen telah menggunakan sistem penternakan moden dan berhawa dingin selain ditempatkan sejauh kira-kira tiga kilometer dari penduduk setempat.
Malah, rata-rata penduduk menyangkal dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad bahawa kewujudan ladang babi berlesen itu menyebabkan penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.
Sebelum ini, Hafez Sabri ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendedahkan terdapat ladang babi beroperasi di Ayer Kuning, lebih-lebih lagi di Kampung Tanjung Keramat yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi terbabit memberitahu, penduduk di kawasan berkenaan menyatakan ketidakpuashatian kerana isu tersebut masih belum diselesaikan sehingga kini.
Malah, Idris menerusi sidang media pada Khamis turut memaklumkan pihaknya turut meminta Kerajaan Negeri mewajibkan penggunaan sistem penternakan moden yang tidak mengeluarkan bau susulan mendakwa penduduk Ayer Kuning terpaksa berdepan bau busuk setiap hari.



