MENJELANG waktu terakhir tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning tepat jam 11.59 malam ini, Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, kelihatan suram tak seceria selalu.
Malah, dari pemerhatian wartawan The Malaysia Press (TMP) pada program terakhir mereka iaitu Perlawanan 3 Penjuru PN bertempat di Padang Awam Tapah Road, petang Jumaat, Menteri Besar Kedah itu turut kelihatan kurang berinteraksi dengan calon PN, Abd Muhaimin Malek yang turut hadir sebagai pemain bola sepak.
Raut wajahnya menimbulkan tanda tanya adakah beliau kurang atau tidak berpuas hati dengan prestasi calon PN?
Tapi ada suara pengikutnya mendakwa Sanusi keletihan sebab kurang makan sejak tengah hari tadi.
Pagi tadi, ketika beliau dan rombongan yang bermain Kabaddi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Simpang 3, Bidor, beliau dengan yakin mendakwa sasaran PN adalah menang.
Sanusi turut mendakwa sepanjang tempoh berkempen, pihaknya tidak membangkitkan isu sensitif antara kaum.
Ujarnya, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera PN sepanjang tempoh berkempen yang disifatkan sebagai bersungguh-sungguh dan tersusun.
“Sama ada gelombang yang kita bentuk mampu menenggelamkan ‘fixed deposit’ Barisan Nasional (BN) atau tidak, tapi saya harap dapatlah tenggelam.
“Yang penting, pengundi buat pilihan berdasarkan ilmu dan maklumat yang benar.
“Sasaran kita menang. Satu undi pun menang. Dalam pilihan raya ini, tak penting berapa jumlah. Satu pun menang,” katanya.

Namun, pada petang tadi, raut wajah serta perlakuannya kepada calon PN, seolah-olah menidakkan keyakinan beliau pada pagi Jumaat tadi.
Mungkinkah Sanusi sudah menjangka apa jawapan yang akan diterjemahkan oleh seramai 31,281 pengundi berdaftar mengikut daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
22 April lalu, undi awal telah dilaksanakan melibatkan Polis dan Pasukan Gerakan Am.
Mengikut pengiraan, BN dikatakan akan mempertahankan kemenangan, namun semuanya akan diterjemahkan oleh pengundi DUN Ayer Kuning pada Sabtu.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon PN, Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS.
Dr Ustaz Yusri Bakir akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala calon PN, Abd Muhaimin Malek, mengundi di SK Ayer Kuning.






