
KANGAR – Beberapa rangkaian perniagaan Global Ikhwan Holdings (GISB) bandar pesisir pantai di negeri ini dilihat lesu dan kurang mendapat sambutan di sini hari ini.
Tinjauan pemberita selepas solat Jumaat mendapati beberapa premis yang menempatkan beberapa cawangan turut ditutup manakala premis yang beroperasi tidak mendapat sambutan.
Seorang pekerja di Ikhwan Cafe & Catering berkata, premis tersebut terkesan dan kurang mendapat sambutan walaupun ia beroperasi seperti biasa.
“Kami buka perniagaan namun kurang mendapat sambutan mungkin kerana ‘isu’ tersebut. Namun masih ada pelanggan yang datang ke sini,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.

Ketika ditanya adakah dia sedar mengenai isu GISB itu, dia mengakui perkara tersebut namun tidak jelas mengenai isu dibangkitkan organisasi keagamaan Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas).
Tinjauan turut mendapati, premis Ikhwan Bakery juga masih beroperasi namun beberapa premis lain seperti Ikhwan Mart dan kedai dobi Ikhwan ditutup.
Beberapa premis perniagaan rangkaian yang tidak beroperasi itu tidak dapat dipastikan sama ada disebabkan isu GISB, cuti atau telah lama tidak beroperasi.