
KANGAR — Kejayaan rampasan bernilai RM53.82 juta sepanjang tahun 2025 mencerminkan peningkatan tekanan berterusan pihak berkuasa terhadap sindiket penyeludupan yang menjadikan Perlis sebagai antara laluan aktif di sempadan utara negara.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Perlis, Ismail Hashim berkata, kejayaan itu melibatkan 167 kes penguatkuasaan, termasuk penyeludupan barangan tidak berkastam dan dadah yang memberi kesan langsung kepada keselamatan awam serta hasil negara.
Menurutnya, sebanyak 147 kes membabitkan rampasan barangan seperti rokok, minuman keras, kenderaan, mercun dan beras dengan nilai RM29.74 juta, manakala 20 kes lagi melibatkan narkotik termasuk ganja, methamphetamine dan ketum bernilai RM24.08 juta.
“Pencapaian ini menunjukkan komitmen berterusan JKDM dalam memperkukuh kawalan sempadan dan memutuskan rantaian sindiket penyeludupan yang bukan sahaja merugikan negara, malah mengancam keselamatan masyarakat,” katanya pada sidang media di sini.
Dalam tempoh sama, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perlis turut merekodkan rampasan dadah jenis kanabis seberat 13 kilogram selain pelbagai barangan tidak berkastam melibatkan kenderaan, rokok dan dapur gas dengan nilai keseluruhan RM376,000.
Ismail berkata, jumlah duti dan cukai yang terlibat dalam rampasan berkenaan dianggarkan sebanyak RM205,782.50, sekali gus menggambarkan potensi kerugian hasil negara sekiranya aktiviti penyeludupan itu tidak dibanteras.
Katanya, rampasan berkenaan dibuat di beberapa lokasi strategik termasuk sekitar Kangar, perairan Kuala Perlis, Mata Ayer berhampiran Padang Besar, Arau serta di Pengkalan Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang antara 4 hingga 14 Januari lalu.
“Antara rampasan tersebut termasuk sitaan tiga kenderaan berpendaftaran Thailand yang didapati menggunakan permit pengedaran antarabangsa (ICP) yang telah tamat tempoh,” katanya.
Beliau menegaskan semua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, selaras pendekatan tegas kerajaan dalam mengekang jenayah rentas sempadan.







