
TAWAU – Rakyat diseru terus memberi sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang agar dapat meneruskan kemajuan negeri dan mandat rakyat.
Naib Pengerusi GRS, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, rakyat perlu sedar dan bersama kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor prihatin dalam membawa kemajuan dan perubahan.
“Seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong, kita dapat lihat sudah beberapa penggal parti pembangkang dipilih di DUN ini namun tiada kemajuan dilakukan.
“Justeru, pengundi di Sri Tanjong perlu mengambil kesempatan pada PRN akan datang untuk melakukan perubahan dengan menyokong kerajaan negeri,” katanya kepada media selepas menyerahkan kunci dua unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada penerima di Sin Onn Tiku, di sini pada Rabu.
Liew yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) berkata, Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif menambah jumlah rumah SMJ kepada 40 buah setiap DUN daripada 20 buah sebelum ini.
Katanya, rumah SMJ berkenaan adalah bukti bahawa kerajaan negeri memberikan sepenuh perhatian kepada rakyat yang kurang berkemampuan tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
Mengenai pemberian rumah SMJ, Liew berkata, pihaknya membantu dua keluarga berkenaan susulan kediaman asal mereka terbabit insiden kebakaran pada 29 Februari lalu dan memajukan permohonan itu kepada Ketua Menteri Sabah.
“Setelah turun padang melihat dan menyalurkan bantuan ketika kejadian itu mendapati keluarga ini perlu dibantu menyediakan rumah kerana mereka tergolong daripada keluarga kurang berkemampuan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana sangat prihatin kepada rakyat,” ujarnya.





