
SIBU – Bazar Ramadan Dataran Tun Tuanku Haji Bujang, Fasa 2 memperkenalkan sistem kod QR bagi membolehkan pengunjung menyalurkan aduan secara terus kepada jawatankuasa penganjur, sekali gus mempertingkat ketelusan dan kecekapan pengurusan tahun ini.
Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi berkata, pendekatan digital itu dilaksanakan bagi memastikan setiap isu dapat direkod dan ditangani dengan lebih sistematik sepanjang Ramadan.

“Seramai 116 peniaga akan beroperasi melibatkan 58 gerai yang menawarkan pelbagai pilihan juadah berbuka puasa.
“Antara kelainan pada tahun ini, pertandingan hiasan lampu gerai turut dianjurkan bagi mewujudkan suasana lebih ceria dan menarik kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui.
Dalam masa sama, urusan jual beli di tapak bazar dilaksanakan menerusi pembayaran tanpa tunai hasil kerjasama dengan Bank Islam Malaysia Berhad membolehkan transaksi dibuat dengan lebih lancar dan selamat.

Kod QR aduan yang dipaparkan di tengah kawasan Bazaar membolehkan maklum balas dihantar terus kepada jawatankuasa tanpa perlu melalui kaedah manual sekali gus mempercepat proses tindakan terhadap sebarang isu berbangkit.
Aspek kebersihan dan keselamatan makanan pula dipantau oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang tempoh penganjuran manakala jawatankuasa bertindak menyelaras sebarang rujukan kepada pihak berkuasa berkaitan sekiranya perlu.



