
PULAU PINANG – Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang merayu agar kepimpinan tertinggi parti mempertimbangkan usul yang dibawa oleh akar umbi Puteri UMNO di Persidangan Agung UMNO baru-baru ini agar meningkatkan had umur bagi keahlian sayap parti itu kepada 40 tahun.
Ketua Puteri UMNO Negeri Pulau Pinang, Ameera Nadiah berkata, usul tersebut mempunyai asas berikutan gerak kerja pilihan raya muktahir ini turut melalui fasa perubahan.
Dalam kenyataannya, Ketua Puteri UMNO Nibong Tebal itu juga berkata, kedua-dua sayap parti UMNO, Pemuda dan Puteri turut berkongsi kumpulan sasar yang sama, dan ianya lebih baik sekiranya had usia keahlian juga diseragamkan tanpa mengira sayap parti.
“Isu had usia yang sudah dibawa dari beberapa penggal lepas selepas penubuhan Puteri, bukan soal ingin mengekalkan kuasa atau jawatan dalam parti, ianya adalah soal kelangsungan pelapis kepimpinan dalam sayap Puteri,” katanya.
Usul berkenaan sebelum ini telah dibawa pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang berlangsung di World Trade Center (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.




