
KOTA BHARU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menubuhkan persatuan isteri-isteri pimpinan AMK (Puspanita) di Kelantan sebagai usaha lebih proaktif menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk menarik minta pengundi muda.
Exco AMK, Arham Rahimin Nasution berkata, langkah itu juga sebagai salah satu usaha kearah persiapan dan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Katanya, diharapkan juga dengan usaha tersebut sekaligus dapat memastikan setiap perancangan yang dilaksanakan dapat benar-benar mencapai tujuannya terutama dalam mendekati masyarakat di Kelantan.
“kita harap dengan penubuhan Puspanita ini dapat menarik golongan muda terutama pengundi muda untuk bersama seterusnya akan mengembangkan lagi parti kita di Kelantan.
“Justeru, di Kelantan ini kita perlu guna satu pendekatan yang lembut dan tidak agresif dalam menyantuni dan berdepan dengan masyarakat di sini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau bagaimanapun menyeru semua pihak termasuk pembangkang agar bermain politik secara baik tanpa cacian dan makian.
Arham berkata, sebaliknya mana-mana pihak perlu sama-sama bekerja keras untuk memajukan negara meskipun berlainan latar belakang politik.
“Jadi saya ingin mengajak rakan-rakan kami di sebelah sana (pembangkang) untuk bermain politik secara baik dan sihat.
“Nasihat ini juga adalah untuk diri kami sendiri serta rakan-rakan kami yang berlainan latar belakang politik,” katanya.






