
BAGI membantu penerima bantuan eKasih berstatus miskin, Unit Penyelerasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi Pejabat Pembangunan Negeri Perak dengan kerjasama Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) telah melaksanakan Program Usahawan Susu ICU – Farm Fresh (PUSH) sebagai salah satu langkah membantu menambah pendapatan peserta dalam bidang perniagaan susu.
Pengarah ICU Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata , pihaknya komited membantu pembangunan usahawan daripada golongan yang memerlukan melalui inisiatif pemberian dana modal perniagaan.
Jelasnya, PUSH adalah kerangka inisiatif di bawah Kesejahteraan Rakyat Madani (IKRaM) juga merupakan program kerjasama yang julung kali diadakan melibatkan 16 orang peserta eKasih yang dipilih berdasarkan kriteria ditetapkan.

“Menerusi program ini (PUSH), peserta akan diberikan Latihan dan bimbingan keusahawanan bagi menjalankan perniagaan tersebut.
“Ini adalah kerjasama strategik antara ICU Perak dan Farm Fresh untuk membantu usahawan eKasih meningkatkan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan,” ujarnya di Majlis perasmian Program PUSH di Pejabat ICU Perak, di Ipoh pada Rabu.
Hadir sama, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Rakyat ICU Jabatan Perdana Menteri, Mashitah@Suhailah Suid dan Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal.
Mengulas lanjut, Shamzhuzaman berkata, para peserta yang terpilih bukan baharu menceburi bidang perniagaan tetapi mereka yang sudah menjalankan perniagaan.

“Setiap peserta akan menerima sumbangan kit permulaan program Home Dealer susu Farm Fresh bernilai RM1,000 untuk memulakan perniagaan tersebut.
“Kebanyakan mereka adalah peniaga kecil-kecilan yang ada pengalaman berniaga untuk kita bimbing agar mereka memperoleh pendapatan sampingan, sekali gus mampu menoktahkan kemiskinan,” kata beliau lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal berkata, sehingga kini, pihak Farm Fresh Berhad telah melahirkan lebih 2,000 usahawan melalui program Home Dealer yang dilancarkan sejak 2016.
Ujarnya, inisiatif yang dilaksanakan ICU Perak ini sangat bagus terutamanya dalam membantu peserta eKasih untuk menambah pendapatan.

“Kita sudah melaksanakan program ini sejak lapan tahun lalu melibatkan 2,000 usahawan di seluruh negara. Kita di Farm Fresh sentiasa menyokong usahawan tempatan untuk berdikari dan keluar daripada kemiskinan.
“Di Perak, sudah ada 300 usahawan yang kita bantu dan dengan adanya bantuan kit permulaan ini saya yakin lebih ramai usahawan eKasih dapat menambah produk dalam perniagaan teras mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, kit permulaan ini akan diberikan secara ‘one off’ kemudian apabila sudah habis dijual, wang diperoleh akan digunakan sebagai modal pusingan.
“Kit permulaan ini merupakan satu inisiatif yang baik untuk para peserta memulakan perniagaan dan jika mampu terjual, mereka boleh memperoleh sekitar RM250 margin keuntungan,” kata Azmi.




