ISU konflik antara gajah dan manusia di kawasan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Perak, bukan lagi perkara baharu, malah semakin membimbangkan.
Kehadiran mamalia besar itu bukan sahaja menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna jalan raya, malah turut menjejaskan kehidupan penduduk setempat.
Insiden seperti kematian seekor anak gajah akibat dilanggar lori dalam keadaan jalan berkabus serta kejadian kenderaan remuk diserang tiga ekor gajah yang terkejut dengan bunyi hon adalah antara contoh jelas konflik ini.
Selain itu, kumpulan gajah turut dilaporkan memasuki kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk untuk mencari makanan.
Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli pada tahun 2020 telah mengumumkan projek pembinaan Pusat Santuari Gajah Perak.

Berkonsepkan konservasi hidupan liar dan ekopelancongan, pusat ini dirancang berhampiran Gerik dengan kos pembangunan sekitar RM40 juta.
Selaras dengan inisiatif itu, Kerajaan Negeri Perak telah mewartakan kawasan seluas 79.74 hektar (200 ekar) di Batu 11, JRTB, berhampiran Tugu Peringatan Pembinaan Jalan Raya Timur-Barat, sebagai tapak projek tersebut.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusof Shariff, pusat ini dijangka mampu mengurangkan konflik antara manusia dan gajah sehingga 70 peratus.
Katanya, ia juga berpotensi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya melibatkan gajah serta kerosakan tanaman penduduk.

Tambah beliau, permohonan peruntukan telah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi pada 6 Mei lalu dan kini menunggu kelulusan daripada Kerajaan Pusat.
Sekiranya diluluskan, pembinaan pusat ini dijangka dimulakan dalam fasa pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan bermula awal tahun depan.
“Kita juga telah melantik perunding bagi merangka konsep pembangunan yang sesuai. Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai jabatan teknikal turut menyokong projek ini,” katanya.
Yusof turut yakin bahawa projek santuari ini bukan sahaja menyumbang kepada usaha pemuliharaan dan keselamatan, tetapi juga mampu memberi lonjakan ekonomi kepada penduduk sekitar Hulu Perak melalui sektor ekopelancongan.





