Pulau Pinang sedia laksana larangan penggunaan vape

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk melaksanakan larangan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape sekiranya Jemaah Menteri memutuskan untuk menguatkuasakan dasar tersebut di peringkat nasional.

Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, pihaknya telah mengambil maklum pengumuman oleh Menteri Kesihatan bahawa satu memorandum Jemaah Menteri akan dibentangkan bagi tujuan melaksanakan larangan menyeluruh terhadap vape, bukan sahaja melibatkan penjualan malah penggunaan secara keseluruhan.

Menurutnya, selaras dengan pendirian kerajaan negeri selama ini, Pulau Pinang akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung isu berkenaan.

“Kita masih menunggu pengumuman selanjutnya, namun jelas kelihatan bahawa KKM komited untuk memastikan larangan ini dapat dijayakan.

“Pejabat saya juga masih menyusuli perkara ini bersama kementerian bagi melihat bagaimana pelaksanaan tersebut dapat dijayakan di peringkat negeri,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik, kerajaan negeri akan mengikut serta melaksanakan dasar tersebut sepenuhnya.

Mengulas mengenai maklum balas pemain industri vape, beliau tidak menafikan terdapat kepentingan ekonomi yang terlibat memandangkan industri berkenaan memberi sumber pendapatan kepada pihak tertentu.

“Pelbagai sesi libat urus dan perbincangan telah diadakan, bukan sahaja di peringkat negeri Pulau Pinang malah di peringkat Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Pandangan daripada pihak industri telah dan akan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh kementerian,” jelasnya.

Namun begitu, Daniel berkata, pendirian kerajaan negeri kekal jelas iaitu mengutamakan kesihatan rakyat melebihi segala pertimbangan lain.

“Sama ada rokok elektronik atau rokok konvensional, kedua-duanya merupakan bahan yang memudaratkan kesihatan.

“Oleh itu, keutamaan terhadap kesihatan rakyat tidak boleh dikompromi dan ini adalah keutamaan nombor satu kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, walaupun terdapat pertimbangan dari sudut ekonomi, kerajaan negeri tetap selari dengan keputusan KKM dan menegaskan tiada kompromi dalam soal kesihatan awam.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan dapatan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), Pulau Pinang merupakan antara negeri yang mencatatkan penurunan prevalens merokok.

“Dilaporkan bahawa kadar prevalens perokok dewasa di Pulau Pinang adalah kira-kira 15.2 peratus (yang bersamaan dengan puluhan ribu perokok), manakala penggunaan vape adalah lebih rendah iaitu kira-kira 3 peratus (kira-kira 38,000 pengguna rokok elektronik).

“Angka ini lebih rendah berbanding kebanyakan negeri lain di Malaysia, dengan penguatkuasaan berterusan sedang dijalankan terhadap penjualan haram serta aktiviti merokok di kawasan larangan selain pendidikan kesihatan dan kesedaran awam.

“Ini bermaksud bilangan perokok, sama ada melibatkan rokok elektronik atau rokok tembakau konvensional, menunjukkan trend penurunan dan bukan peningkatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan larangan terhadap rokok elektronik dapat menyumbang kepada penurunan yang lebih ketara terhadap tabiat merokok dalam kalangan rakyat negeri ini pada masa hadapan.

Terdahulu, KKM menyasarkan untuk melaksanakan pengharaman vape bermula dengan jenis sistem terbuka, tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Beliau berkata, pengharaman itu meliputi penjualan dan penggunaan vape jenis sistem terbuka.

Katanya, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

Related Posts

Kebakaran awal pagi musnahkan bilik server Balai Polis Kepala Batas

ALOR SETAR – Sebahagian bangunan Balai Polis Kepala Batas, di sini yang melibatkan bilik server musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. Kejadian itu disedari oleh seorang anggota yang sedang bertugas…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pendigitalan kunci tarik minat generasi muda ke perpustakaan

TAWAU – Perpustakaan seluruh negara disaran memperkukuh peranannya agar kekal relevan seiring keperluan semasa dengan bertransformasi digital. Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, peralihan tradisional kepada sistem…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sistem telus, kepimpinan tegas diperlukan dalam membanteras rasuah – KSN

Sistem telus, kepimpinan tegas diperlukan dalam membanteras rasuah – KSN

Titah Agong perkasa SPRM sebagai institusi bebas, tolak campur tangan politik

Titah Agong perkasa SPRM sebagai institusi bebas, tolak campur tangan politik

Kebakaran awal pagi musnahkan bilik server Balai Polis Kepala Batas

Kebakaran awal pagi musnahkan bilik server Balai Polis Kepala Batas

Pendigitalan kunci tarik minat generasi muda ke perpustakaan

Pendigitalan kunci tarik minat generasi muda ke perpustakaan

Pentadbiran negeri mesti terus berfungsi, pelihara kepentingan rakyat – Tuanku Muhriz

Pentadbiran negeri mesti terus berfungsi, pelihara kepentingan rakyat – Tuanku Muhriz

Agong akan tentukan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, pilih calon terbaik

Agong akan tentukan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, pilih calon terbaik