
KOTA KINABALU – “Tidak ada 05, tidak ada 07, semua anak jati Sabah,” kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Jelasnya, semua calon DAP Sabah yang diumumkan bagi Pilihan Raya Umum ke-17 (PRU17) Sabah adalah anak jati kelahiran negeri ini tanpa sebarang calon ‘import’ dari Semenanjung.
“Segala perbincangan dan keputusan berhubung pemilihan calon ditentukan sepenuhnya oleh pimpinan utama DAP Sabah.
“Saya hanya dirujuk dalam proses perbincangan, namun keputusan akhir dibuat secara kolektif bersama kepimpinan DAP negeri.
“Saya sudah semak semua senarai calon; semua IC mereka angka 12 tanda kelahiran negeri Sabah. Tiada 05, tiada 07, semua anak jati Sabah,” katanya semasa Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon-Calon Pakatan Harapan – DAP Sabah, di sini pada Sabtu.
Tambahnya, keutamaan parti bukan sekadar menyiapkan bahan publisiti atau kempen politik semata-mata, tetapi menonjolkan calon yang mempunyai rekod kerja dan keyakinan di mata rakyat.
“Kita harus memaparkan kempen-kempen ini, bahan-bahan publisiti ini untuk tatapan rakyat.
“Namun yang paling penting dalam pilihan raya bukan sahaja publisiti, bukan sahaja kempen, tetapi adalah rekod kerja kita, rekod parti kita, wakil-wakil rakyat kita dan prestasi mereka dalam tahun-tahun sebelum ini.
“Itu yang boleh meyakinkan pengundi bahawa calon yang kita tampilkan adalah yang terbaik untuk rakyat, terbaik untuk pengundi,” ujarnya.
Katanya, strategi utama kempen DAP bukan hanya bergantung kepada kekuatan publisiti, tapi kepada barisan calon yang diyakini, dinamik dan bersemangat untuk memenangi pilihan raya.
“Sebab itu, satu strategi penting dalam kempen pilihan raya, selain persiapan dan bahan publisiti ialah barisan calon.
“Mereka mesti yang terbaik, paling kuat, paling dinamik dan paling bertenaga untuk memenangi pilihan raya,” ujarnya.
Anthony turut mengingatkan bahawa pengalaman lalu banyak mengajar parti tentang pentingnya menilai calon berdasarkan kekuatan dan rekod sebenar.
“Kami telah melalui banyak pengalaman, kami tahu bahawa pengalaman paling penting adalah orang, pilihan paling penting adalah kekuatan kita sendiri.
“Kekuatan itu bermula dengan pilihan calon.
“Sebab itu kami meluangkan banyak masa untuk memastikan pilihan terbaik dibuat,” katanya.






