KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 15 November ini sebagai tarikh Hari Penamaan Calon (HPC) bagi Pilihan Raya Umum Ke-17 (PRU17) Dewan Undangan (DU) Sabah.
Setiausaha SPR Malaysia, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penyerahan kertas penamaan calon hendaklah dibuat dari pukul 9 pagi hingga 10 pagi di 25 Pusat Penamaan Calon yang telah ditetapkan.
“Penyerahan boleh dilakukan oleh calon bersama pencadang dan penyokong, atau mana-mana dua, atau salah seorang daripada mereka kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
“Manakala bakal-bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik pula hendaklah mengemukakan surat kebenaran penggunaan simbol parti yang diwakili apabila membuat penyerahan Kertas Penamaan Calon,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
SPR turut menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi borang dan membuat semakan awal dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sebelum HPC serta membuat pembayaran deposit lebih awal.
Katanya, resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada HPC sebagai bukti pembayaran.
“Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT),” ujarnya.
SPR turut menyeru kepada bakal-bakal calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahanarahan yang dikeluarkan oleh SPR, PBT dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penamaan calon yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar.





