
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tidak akan diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya kerajaan kini memberi keutamaan penuh kepada usaha menstabilkan ekonomi dan menjaga keselamatan negara.
Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, tumpuan utama kerajaan ketika ini adalah menangani cabaran semasa susulan ketidaktentuan global termasuk konflik di Asia Barat.
“Saya tidak akan adakan pilihan raya dalam satu atau dua bulan ini, sabar sekejap. Apabila sampai masanya, kita bertanding. Sekarang ini masa untuk bekerja, cukup-cukuplah berpolitik, bangun selamatkan negara,” katanya.
Beliau ditemui selepas berucap pada Majlis Perasmian Program MADANI Rakyat 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya, di sini pada Sabtu.
Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan kini memfokuskan langkah menstabilkan ekonomi dan melindungi kesejahteraan rakyat susulan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, situasi tersebut memerlukan komitmen bersama semua pihak termasuk pemimpin, penjawat awam dan rakyat bagi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan telah mengambil langkah penjimatan termasuk mengurangkan sebahagian besar lawatan rasmi ke luar negara melibatkan menteri dan timbalan menteri.
“Saya mohon kefahaman semua pihak. Dalam keadaan mencabar ini, kita perlu fokus sepenuhnya kepada usaha menyelamatkan negara.
“Jika ekonomi terus terjejas, kita bimbang kadar jenayah termasuk penyeludupan akan meningkat. Jadi perkara ini perlu diberi perhatian serius,” katanya.






