FASA pertama kerja menambah baik projek penyuraian trafik laluan sehala di pekan Tapah siap sepenuhnya, melibatkan peruntukan RM2.2 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang meninjau lokasi tapak itu (FT001) berkata, keadaan trafik di kawasan berkenaan bergerak lancar.
“Kami (KKR) datang untuk melawat tapak yang baru sahaja siap ini untuk menyuraikan trafik, untuk memastikan pengguna jalan raya kita lebih selesa dan selamat.
“Saya sendiri sudah lalui tadi bersama JD (Jurutera Daerah) dalam kereta beliau.
“Sekarang trafik agak lancar dan sebelum turun ke tapak, kami ada bermesyuarat di pejabat JKR (Jabatan Kerja Raya) daerah dan banyak dibincangkan (kerja-kerja) akan datang untuk ditambah baik,” katanya kepada Bernama.
Turut hadir dalam tinjauan itu Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang Choong Shin Heng dan ADUN Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kerja menambah baik laluan sehala di pekan Tapah itu dimulakan pada 7 April lalu dan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu.





