
MIRI – Golongan berpendapatan rendah di Miri yang masih belum memiliki kediaman sendiri kini berpeluang memiliki rumah menerusi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang diperkenalkan khusus untuk membantu mereka.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, program itu menyasarkan isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM5,000 yang masih tinggal di rumah usang atau belum mempunyai kediaman sendiri.
“Projek ini adalah kerjasama antara Pusat Khidmat Parlimen Miri dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), agensi kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan skim RMR di seluruh negara,” katanya.
Menurutnya, inisiatif ini juga memberi peluang kepada mereka yang memiliki tanah sendiri tetapi tidak mampu membina rumah yang selesa dan sempurna kerana kekangan kewangan.
Beliau menambah, usaha ini juga seiring dengan iltizam kerajaan dalam memastikan golongan B40 terus diberi keutamaan dalam aspek perumahan dan kesejahteraan hidup.
Taklimat berhubung program berkenaan yang diadakan petang tadi di Grand Palace Hotel, Miri turut mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai skim tersebut.
Turut hadir Ketua Eksekutif SPNB, Arianna Iskandar serta beberapa pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan.






