
KEPUTUSAN Kerajaan Persekutuan meluluskan tiga projek pengawalan hakisan pantai di Negeri Terengganu bernilai RM182.5 juta membuktikan Kerajaan Persekutuan komited melaksanakan obligasi berdasarkan Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.
Tiga projek yang diluluskan itu membabitkan Pantai Kuala Nerus, Pantai Kuala Paka di Dungun dan Pantai Geliga di Kemaman.
Mengikut jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, pengurusan pantai termasuk dalam senarai bersama di bawah pemaritan dan penyaliran. Justeru, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim terbukti menjalankan tatakelola dan juga pentadbiran selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Namun begitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ada mengeluarkan kenyataan bahawa obligasi untuk mengawal hakisan pantai ini adalah sepenuhnya di bawah Kerajaan Persekutuan.
Persoalan yang timbul, adakah Menteri Besar Terengganu tidak faham undang-undang dan perlembagaan ataupun sengaja melepaskan diri daripada tanggungjawab yang sepatutnya ditanggung bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan?
Di mana kehebatan kepimpinan Menteri Besar Terengganu yang dipuja penyokong Pas ini jika asyik mengatakan ini adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan?
“Kalu gitu gok buat mende jadi Kerajaan Negeri boh, semua mende mitok Kerajaan Pusat buat, pastu duk kate Kerajaan Pusat zalim sebab tak bagi peruntukan, jeng otok gini boh.”
Kerajaan Persekutuan tenyata tidak pernah mengabaikan kebajikan dan keperluan rakyat negeri Terengganu tetapi semua itu cuba ditutup dengan pembohongan yang sengaja direka oleh penyokong parti pembangkang.




