KUANTAN – Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menghubungkan negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang menunjukkan kemajuan positif apabila pembinaannya mencatat 83.38 peratus setakat Mei 2025.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagi jajaran di negeri ini sahaja, kemajuan sudah melepasi 86.03 peratus, melibatkan tujuh stesen sepanjang 258 kilometer dari Cherating hingga ke Bentong.
Menurutnya, projek mega ini yang diilhamkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah pemangkin kepada transformasi sistem pengangkutan awam negara menerusi jaringan rel moden dan efisien.
“Saya bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkesempatan meninjau kemajuan projek pembinaan ECRL di Stesen KotaSAS.
“Saya amat berharap agar projek ini dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan, iaitu menjelang penghujung tahun 2026 demi manfaat bersama seluruh rakyat dan negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Wan Rosdy menambah, selaras dengan pembangunan prasarana ini, kerajaan negeri turut merangka pelan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) bagi kawasan sekitar setiap stesen ECRL dalam radius 15 kilometer.
Katanya, usaha itu bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi setempat secara mapan, selain mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat.





