
PROGRAM Insan Rabbani anjuran Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bertujuan membimbing 2,474 bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) kembali kepada ajaran Islam berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin berkata, seramai 1,064 peserta dewasa dan 1,410 kanak-kanak mengikuti program anjuran Jabatan Agama Islam Selangor yang diadakan setiap Ahad sejak 15 Februari lalu hingga Ogos ini di tiga sekolah dan sebuah masjid.
“Program ini terbuka kepada bekas ahli GISBH yang sukarela, jika dipaksa kita bimbang besar kemungkinan mereka tidak menerima proses perubahan itu secara ikhlas.
“Kita berharap program ini dapat memberi ruang kepada ahli GISBH untuk bertaubat, memulihkan akidah dari fahaman menyeleweng dan kembali kepada ajaran ahli sunnah wal jamaah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Majlis Ramah Mesra Bersama Peserta Program Insan Rabbani di Sekolah Rendah Agama (SRA) Bandar Country Homes, Rawang, hari ini.
Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, program berkenaan merangkumi dua fasa iaitu pemulihan dan pemantapan akidah, selain pemantauan berkala setiap enam bulan bagi memastikan peserta tidak kembali kepada fahaman menyeleweng.
Setakat ini tiga negeri mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.
Pada awal September tahun lalu, polis melancarkan Op Global dan menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan agama.







