KUALA LUMPUR – Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 membuka tirai di PusatKonvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini menjadi platform terbaik bagi rakyat Malaysia melihat sendiri kad laporan kerajaan bagi tempoh dua tahun.
Program berlangsung selama tiga hari hingga Ahad ini bertujuan menyebar luas langkah reformasi perkhidmatan awam dan mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan sejak mengambil alih pentabiran negara pada 24 November 2022.
Selain itu, program berkenaan juga yang menyasarkan 200,000 pengunjung juga bertujuan meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju kerajaan bagi membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala.
Dalam program itu, hasil pencapaian setiap kementerian sepanjang dua tahun ini akan dipamerkan di reruai masing-masing dan penganjuran Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 pula adalah bagi membincangkan pembaharuan sektor awam yang inklusif dan berdaya saing oleh pemimpin, pakar dan komuniti.
Seperti lazimnya, program ini menyaksikan setiap kementerian membuka reruai dengan program khas
antaranya Jualan Rahmah Madani dengan potongan hingga 30 peratus serta tawaran produk usahawan
tempatan yang dibawakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop).
Dalam pada itu, Karnival Kerjaya turut dilaksana yang menawarkan 3,000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan dengan penglibatan lebih 40 majikan, selain orang ramai berpeluang menukar al-Quran baharu menerusi program Jom Exchange Al-Quran (JEQ)” dengan membawa naskah al-Quran lama yang tidak mempunyai perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN), terhad senaskah kepada seorang pengunjung.
Bukan itu sahaja, pertandingan e-sukan, kaunter khas bayaran kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga 60 peratus, kaunter pembayaran saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pembaharuan lesen memandu serta lesen kenderaan motor dan pertukaran 5,000 topi keledar secara percuma pastinya akan menjadi tumpuan pengunjung.
Sepanjang program itu, terdapat lebih 150 perkhidmatan ‘touch point’ rakyat seperti saringan pemeriksaan kesihatan percuma dan klinik rawatan merokok di reruai Kementerian Kesihatan (KKM).
Selain itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) menawarkan perkhidmatan pendaftaran kontraktor di bawah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan tawaran kursus serta latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kementerian Komunikasi menerusi jabatan dan agensinya, seperti Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
(Bernama), Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penyiaran RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga menawarkan pelbagai aktiviti interaktif di reruai masing-masing.
Kementerian Kewangan pula menawarkan antaranya semakan wang tidak dituntut, semakan laporan
kredit individu (CCRIS/CTOS), semakan Kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain turut memberi pendedahan berkaitan isu penipuan pelaburan.
Pada program itu juga, Kementerian Pertahanan membuka reruai pameransenjata ringan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kaunter perkhidmatan veteran dan promosi askar wataniah manakala antara inti pati di reruai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ialah nasihat dan perkhidmatan aspek perumahan.
Penganjuran program yang bermula 9 pagi hingga 6 petang yang bertemakan “Madani di Hati, Rakyat Disantuni”, akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 11 pagi esok manakala majlis penutup progm berkenaan akan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 4.30 petang, Ahad ini.
Program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU)
bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) itu turut melibatkan kerjasama strategik pelbagai kementerian dan agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta serta pihak berkepentingan.
Ia merupakan kesinambungan Program Setahun Kerajaan Madani yang telah diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023.




