
SANDAKAN – Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berpotensi besar menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sekiranya parti itu diberi mandat untuk meletakkan calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah berkata, berdasarkan siri lawatan ke kawasan berkenaan, tinjauan menunjukkan kepimpinan Gagasan Rakyat Sekong yang diketuai Safarudin Abu telah menguasai sehingga 68 peratus sokongan penduduk setempat.
“Berdasarkan penelitian saya, jelas sokongan rakyat memihak kepada Gagasan Rakyat berbanding parti-parti lain dalam gabungan GRS dan Pakatan Harapan (PH).
“Saya memberi jaminan Gagasan Rakyat berpotensi besar untuk menang di kawasan itu sekali gus merampas kerusi DUN Sekong daripada Parti Warisan,” katanya ketika melawat War Room Gagasan Rakyat Sekong, pada Sabtu.
Masiung yang juga Pengerusi Zon 10 Gagasan Rakyat Sandakan berkata, parti pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor kini menjadi pilihan utama masyarakat pelbagai lapisan di kawasan berkenaan.
Namun beliau berkata, peluang GRS untuk menawan kerusi tersebut mungkin terjejas sekiranya parti lain dalam gabungan itu diletakkan bertanding di DUN berkenaan.
Menurutnya, laporan terperinci dari semua tujuh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Sekong menunjukkan Gagasan Rakyat mendominasi kawasan tersebut sebagai tulang belakang kepada GRS.
“Statistik jelas menunjukkan Gagasan Rakyat jauh meninggalkan parti-parti lain yang turut berminat meletakkan calon di kawasan ini.
“Pandangan badan bebas serta risikan Unit Cawangan Khas juga harus diambil kira agar peluang GRS di Sekong tidak tergugat,” katanya.






