
KOTA BELUD – PKR Sabah belum mengadakan sebarang perbincangan rasmi dengan Barisan Nasional (BN) berhubung agihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah akan datang.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) sudah bersetuju untuk membahagikan 40 kerusi kepada BN dan 33 kerusi kepada PH dalam PRN17 Sabah.
“Sebenarnya belum ada perbincangan rasmi dengan pihak Barisan Nasional, hanya perbincangan tidak rasmi berkaitan usaha mewujudkan kerjasama.
“Kita belum berbincang tentang kerusi juga pun.
“Jadi saya fikir itu mungkin pandangan daripada Barisan Nasional sendiri.
“Kita terima pandangan tersebut tapi yang paling penting ialah selepas ini kita kena berbincang dan tentukan tentang agihan kerusi ini.
“Dan saya sebut juga kita kena pastikan bahawa parti lokal juga mesti dilibatkan sama dalam konteks ini,” katanya ketika ditemui wartawan TMP semasa Majlis Santai Raya PKR Sabah, di sini pada Khamis.

Menurut Mustapha, penglibatan parti tempatan dalam rundingan kerusi juga penting dan perlu diberi perhatian.
“Kita mahu supaya bukan sahaja PH, BN tapi kita kena ambil kira sentimen lokal sebab ada pengundi-pengundi kita di negeri Sabah ini, mereka mahu juga supaya parti lokal dilibatkan sama.
“Dan itu yang kita selalu uar-uarkan, kita juga mahu bekerjasama terutama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kita runding betul-betul.
“Sebab mereka juga adalah komponen untuk Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI. Jadi sebenarnya ini adalah antara pertimbangan kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, PKR dan PH sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak demi memastikan Kerajaan Perpaduan terus stabil dan kepimpinan Kerajaan MADANI kekal memimpin negara, sekali gus menjamin kestabilan negeri Sabah.







