
SANDAKAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Abdul Said Pimping, menyatakan bahawa fokus utamanya dalam kempen Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kali ini adalah untuk menyelesaikan masalah-masalah lama yang masih belum ditangani di kawasan tersebut.
Menurutnya, banyak isu berlarutan sejak bertahun-tahun dan memerlukan perhatian serius agar kehidupan penduduk setempat dapat dipertingkatkan.
“Isu utama yang ingin saya ketengahkan ialah masalah-masalah yang sebelum ini tidak selesai, yang bertahun-tahun dibiarkan.
“Insya-Allah, jika diberi mandat, saya akan perjuangkan supaya ia dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas penamaan calon DUN Gum-Gum, Sungai (Sg) Manila dan Sg Sibuga PRN17 di Dewan Serbaguna Libaran, di sini pada Sabtu.
Abdul Said turut memaklumkan bahawa aspek infrastruktur serta pembangunan aktiviti komuniti juga akan diberi perhatian khusus sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
“Kita akan lihat mana-mana aspek infrastruktur atau aktiviti yang boleh diketengahkan.
“Saya bertekad untuk bekerja lebih keras bagi memastikan hasil yang lebih baik untuk penduduk DUN Gum-Gum,” ujarnya.
Mengulas suasana kempennya, Abdul Said berkata PH menggunakan pelbagai medium untuk mendekati pengundi termasuk media sosial seperti TikTok dan Facebook, selain kaedah tradisional.
“Kami menggunakan semua platform yang ada. Media sosial membantu kami menjangkau lebih ramai orang, tetapi pada masa sama kami tetap turun berkempen secara bersemuka, belompok kecil dan dari rumah ke rumah,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Abdul Said turut merayu sokongan daripada semua pengundi, terutama golongan muda dan pengundi tetap di kawasan tersebut.
“Saya harap para pengundi dapat memberi peluang kepada saya sebagai calon PH.
“Hari ini kita tidak bertanding atas tiket pembangkang, tetapi atas tiket kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.







