PENAMPANG – Kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang menjelaskan bahawa tiada rundingan kerjasama dengan Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah suatu yang dianggap memudahkan urusan GRS di pilihan raya negeri yang akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, secara peribadi beliau sangat berterima kasih kepada Pengerusi PN itu yang terang-terang menjelaskan tidak ada sebarang rundingan mahupun perancangan kerjasama antara mereka.
“Apa yang penting adalah untuk kita laksanakan iktihar iaitu mendapat sokongan daripada rakyat Sabah dan bukannya sokongan atau dukungan dari mana mana parti atau gabungan yang lain.
“Saya juga tidak mahu mengulas lanjut tentang persoalan yang disebut tentang khianat dan sebagainya sebab saya diajar supaya tidak terjerumus bercakap tentang orang ataupun individu, jadi saya ambil pendekatan untuk tidak beri komen tentang isu itu,” jelasnya ketika ditemui dalam sidang media, pada Ahad.

Menurutnya, ada beberapa kenyataan sesetengah pihak yang menyebut merekalah yang ‘mengangkat’ Datuk Seri Hajiji Noor menjadi wakil rakyat serta Ketua Menteri Sabah dan itulah sebabnya antara alasan yang perlu dirintis dalam perubahan bagi Sabah.
“Antara alasannya kita perlu untuk merintis perubahan bagi Sabah kerana kalau berada dalam parti atau gabungan parti nasional benda ini akan berterusan.
“Kerana apa, mahu jadi calon dalam Pilihan Raya, watikahnya iaitu pemilihan calon akan ditetapkan oleh di sana iaitu pimpinan pusat di Semenanjung Malaysia.
“Mahu jadi Ketua Menteri walaupun itu orang Sabah, lantikannya oleh para pemimpin pusat.
“Jadi akhirnya akan ada cerita bahawa kami yang memilih dan kamu perlu terhutang budi, patuh dan setia perlu kepada pimpinan pusat,” ujarnya.
Jelas Armizan, berbeza dengan parti lokal, jika mahu jadi calon Pilihan Raya, yang memutuskan dan watikahnya ditandatangani oleh pemimpin di negeri parti lokal itu sendiri.
“Saya melihat ini teladan untuk kita melangkah ke depan dan kita perlu rintis perubahan.
“Cukup-cukuplah ada sentimen yang menganggap merekalah tuan, merekalah ‘master’.
“Kita perlu hantar ‘signal’ yang jelas ‘loud and clear’, bahawa ‘the master is not there, the master is here’,” katanya.





