PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N20 Sungai Bakap yang memasuki hari kelima, menyaksikan perjalanan kempen bagi kedua-dua calon daripada Kerajaan Perpaduan yang diwakili Dr Joohari Ariffin dan wakil PAS, Abidin Ismail berjalan dengan lancar.
Tinjauan mendapati kedua-dua pihak bersama dengan gabungan parti masing-masing giat menjalankan kempen sama ada melalui media sosial mahupun secara bersemuka dengan pengundi yang dijalankan oleh jentera parti masing-masing.
Namun, melalui pemerhatian yang dijalankan mendapati jentera Perikatan Nasional yang menjalankan kempen bersemuka lebih didominasi oleh jentera PAS di beberapa kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) berbanding sokongan dari jentera sekutu parti itu, Bersatu.
“Sebenarnya, kita tetap bergerak sekali dengan mereka (Bersatu) sepanjang kempen sampailah hari akhir mengundi nanti. Tidak timbul isu kata mereka tidak terlibat, mungkin sebab mereka tak pakai baju logo parti (Bersatu).
“Pemimpin mereka pun nanti akan hadir dalam ceramah-ceramah besar,” kata salah seorang jentera Perikatan Nasional ketika ditanya berkenaan penglibatan jentera Bersatu dalam kempen.

Dalam pada itu, seorang lagi anggota jentera kempen PAS berpendapat, calon daripada parti itu mampu mempertahankan kemenangan kerusi yang disandang oleh parti itu selepas mengambil kira beberapa faktor.
Anggota jentera yang hanya mahu dikenali sebagai Badrul itu berkata, ketidakpuasan hati rakyat Malaysia, khususnya pengundi di Sungai Bakap hari ini terhadap beberapa dasar kerajaan pusat akan diterjemah melalui PRK kali ini.
Lelaki berusia 30-an itu menegaskan, antara isu yang menjadi perbualan di kalangan pendududk Sungai Bakap termasuklah berkenaan penyasaran subsidi diesel yang diumum oleh Menteri Kewangan kedua baru-baru ini.
Justeru katanya, meskipun jentera Bersatu mungkin kurang atau tidak kelihatan di beberapa kawasan kempen namun, kemenangan PAS di kawasan DUN Sungai Bakap masih boleh dipertahankan.
“Ada beberapa sebab yang membuatkan rakyat, termasuk Sungai Bakap tidak berpuas hati dengan kerajaan pusat hari ini.
“Harga barang keperluan harian naik hari ini, lepas harga diesel naik mendadak baru-baru ini jadi, sudah pasti calon kita ada kelebihan di situ. Masa kita menang pada PRN 2023 pun diesel belum naik, hari ini diesel naik.
“Insya-Allah kita mampu bertahan (kemenangan) biarpun awak tak nampak kawan (Bersatu) kami berkempen. Tapi mereka tetap ada (berkempen) sebenarnya,” katanya ketika ditemui.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.
Calon mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr Joohari Ariffin dicabar Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail sebagai calon Perikatan Nasional dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK N20 Sungai Bakap, 6 Julai ini.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan perut.






